This article was published for the Projek Kalsom children 2009.
Saudara sudah tahu bahawa doktorlah yang mengubati kamu apabila kamu menghidapi selesema atau demam. Saudara tahu bahawa doktorlah yang akan merawati kamu jika tangan kamu terpatah semasa bermain bola sepak.
Walaubagaimanapun, dunia perubatan memberikan peluang yang jauh lebih luas daripada apa yang saudara jangkakan.
Rencana ini bertujuan bukan sahaja berkongsi dengan saudara apakah peluang-peluang pekerjaan selepas menjadi doktor tetapi secara ringkasnya, bagaimana menjadi doktor juga.
Pada asasnya, saudara tentulah perlu menelaah bidang perubatan sebelum menjadi doktor. Di Malaysia, terdapat pelbagai peluang untuk saudara menelaah perubatan.
Sebanyak 6 institut pengajian tinggi awam mempunyai sekolah perubatan manakala lebih banyak lagi institut pengajian tinggi swasta mengajar perubatan, tetapi pada kos yang lebih tinggi.
Jika saudara bercita-cita lebih tinggi, anda boleh memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menelaah perubatan di luar negara, di negara Ireland misalnya.
Mungkin apa yang saudara tanya sekarang ialah apa yang perlu untuk saudara menjadi doktor mahupun seorang pelajar perubatan. Keputusan peperiksaan merupakan salah satu aspek yang penting. Setiap pelajar perubatan dipilih mengikut keputusan peperiksaan STPM atau peperiksaan yang setaraf dengannya.
Oleh itu, saudara perlu bekerja keras dari sekarang juga jika ingin menjadi seorang doktor.
Walaubagaimanapun, perlu ditekankan bahawa keputusan baik tidak boleh disamakan dengan ciri-ciri seorang doktor yang baik dan dihormati. Menelaah perubatan dengan alasan bahawa telah mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan juga adalah salah.
Sebab saya sendiri ingin menjadi doktor perubatan terbahagi kepada dua. Pertama, saya medapat kepuasan daripada menolong orang lain. Senyuman daripada seseorang pesakit yang telah sembuh dengan rawatan saya merupakan salah satu penghargaan yang paling penting dalam kareer saya pada masa depan.
“Keinginan menolong orang lain” merupakan salah satu sebab yang sering diberikan pelajar perubatan orang lain tetapi adakah ini dapat menjadi pendorong saudara sepanjang kareer saudara dalam perubatan. Hal ini mesti saudara renung-renungkan.
Sebab kedua ialah perubatan merupakan salah satu bidang sains yang membolehkan saya berinteraksi dengan manusia. Misalnya, bidang fizik yang juga saya minati hanya mengkaji objek-objek sahaja.
Dalam menjadi seorang doktor yang dihormati, saudara perlu mempelajari apa yang dipanggil good bedside manner, iaitu senarai sikap-sikap dan amalan-amalan yang perlu ada pada saudara supaya pesakit saudara dapat sembuh dari segi emosi juga.
Setelah mempelajari perubatan selama 5 tahun dan menduduki ujian yang pelajar perubatan menganggap sebagai paling susah dan tentulah lebih susah daripada peperiksaan UPSR yang telah kita semua duduki, seseorang menjadi seorang pegawai perubatan.
Saudara telah menjadi seorang yang begelar doktor. Tetapi ‘glamor’ seorang doktor yang selalu diuar-uarkan tidak kelihatan. Saudara terpaksa berjaga dan dilarang tidur seperti kayu lebih daripada 36 jam dalam proses ‘on call’.
Saudara akan dimarah oleh pakar-pakar perubatan. Saudara akan mula sedar bahawa selepas 5 tahun mempelajari perubatan, apabila kecemasan berlaku, masih kekok saudara menghampiri si pesakit yang meraung kesakitan itu.
Selapas itu, saudara akan disuruh dan dipaksa memilih jalan seterusnya yang dipanggil ‘specialisation’. Saudara akan disuruh memilih antara dua kumpulan besar dalam perubatan, sama ada untuk menjadi pakar perubatan ataupun pakar bedah.
Jika saudara lebih berminat menyelesaikan teka-teki maka, saudara boleh cuba bidang perubatan am. Saudara boleh memilih organ atau bahagian badan yang saudara berminat untuk merawati. Seseorang pakar perubatan bertanggungjawab mencari punca-punca sebarang penyakit yang dihidapi pesakit dan merawatinya. Misalnya pakar kardiologi merawat penyakit penyakit jantung manakala pakar nefrologi merawati penyakit-penyakit ginjal. Pakar paediatrik pula merawati penyakit kanak-kanak, khususnya.
Jika saudara lebih berminat mengambil tindakan dan menggunakan tangan, maka saudara boleh menceburi bidang pembedahan. Pakar bedah bertanggungjawab melakukan prosedur-prosedur seperti mengeluarkan tisu kanser daripada badan. Seseorang boleh menjadi pakar bedah kardio- thoraks yang antara lain melakukan pembedahan semasa sakit jantung.
Saudara juga boleh menceburi bidang obstetrik dan gineakologi atau doktor sakit puan. Saudara juga disyorkan menjadi pakar perubatan keluarga (doktor inilah yang biasanya merawat selesema) yang bertanggungjawab menjaga kesihatan seisi keluarga dan berpeluang merawati pelbagai jenis pesakit.
Walaubagaimanapun, saudara tidak perlu bekerja di klinik sepanjang hidup. Ini betapa luasnya peluang pekerjaan seseorang yang telah mempelajari perubatan.
Misalnya saudara boleh bekerja membantu penghidap-penghidap HIV-AIDS di majlis AIDS Malaysia dengan mengunjungi kawasan-kawasan pengguna dadah. Saudara boleh menjadi seperti Tun Mahathir Mohamad, menjadi seorang negarawan dan pemimpin setelah mejadi doktor.
Saudara juga boleh pergi ke merata dunia, membantu mangsa-mangsa perang ataupun bencana semula jadi melalui badan-badan di Malaysia seperti Mercy Malaysia.
Saudara mungkin suka mengajar dan boleh menjadi akademik perubatan di universiti yang unik kerana saudara boleh mengamalkan perubatan di samping mengajar pelajar-pelajar saudara.
Duit juga bukan merupakan sebab yang baik menjadi doktor. Doktor dibayar gaji tinggi kerana ujian ujian dan kursus yang terpaksa dihadiri oeh doktor juga tinggi. Misalnya, Ujian kemasukan bagi pakar bedah kardio toraks ialah lebih kurang RM 14 000. Gagal dalam ujian ini dan terpaksa dibayar lagi.
Kualiti kehidupan doktor juga kurang baik. Doktor lazimnya kurang mempunyai masa dengan keluarga dan sebuah kajian oleh persatuan perubatan di United Kindom mendapati bahawa 50 % peratus doktor tidak puas dengan pilihan kareer mereka.
Pada masa yang sama, doktor merupakan salah satu pihak yang dipandang tinggi masyarakat dan kepuasan daripada penyembuhan seseorang pesakit cukup untuk seseorang doktor yang bagus.
Oleh itu saudara perlu merenungkan ini semua sebelum membuat keputusan melompat ke dalam dunia perubatan.
Kong Chia Yew merupakan pelajar perubatan di Universiti Perubatan Antarabangsa, Malaysia. Saudara-saudara yang mempunyai soalan mengenai dunia perubatan dijemput bertanya dengan saya di kchiayew_133@hotmail.com. Saudara juga dijemput menjadi Facebook friend saya. Saudara juga terus boleh memanggil saya di 016-3533321.